Thursday, September 01, 2011

Apa buktinya Malaysia merdeka 54 tahun?

Artikel kali ini aku tujukan kepada kedua adik yang aku sayangi, Mike dan Marinah.

Aku bukanlah seorang guru, jadi aku tidak layak untuk mengajar anak orang, tapi aku adalah seorang kakak yang ingin memberitahu hal yang benar kepada adik-beradikku.

Namun, oleh kerana kita digalakkan berkongsi ilmu untuk kebaikan bersama, maka setiap pembaca yang singgah di blog ini bolehlah berkongsi sama. In case, anda belum tahu, ataupun mahu tahu lebih lanjut…

Adikku, Kakak ingin menulis berkenaan Hari Kemerdekaan Malaya, Sabah dan Hari Pembentukan Malaysia untuk memastikan kalian berdua faham akan fakta yang kita berhak ketahui. Jangan sesekali tersalah fakta di antara ‘TARIKH’ dan ‘TAHUN’ supaya kalian berdua faham dan arif sekurang-kurangnya fakta asas berkenaan sejarah negara kita.

Tanah Melayu (SEMENANJUNG MALAYSIA SAHAJA) telah mendapat kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Itu adalah fakta. Jangan salah faham, Cuma Tanah Melayu sahaja yang merdeka pada 1957.

Manakala, Sabah telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1963. INGAT TAHUN ITU. 1963. Ketika itu Sabah adalah sebuah negara yang dikenali sebagai North Borneo.

Jadi, kalau malas untuk mengira, Kakak tolong kirakan. Tanah Melayu telah merdeka selama 54 tahun dan SABAH PULA BARU MERDEKA SELAMA 48 TAHUN.

Jadi, kenapa kalau kita tengok TV, baca surat khabar dan dengar orang bercakap di radio semua ucapan mereka Selamat Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-54 sedangkan cuma Tahan Melayu yang merdeka 54 tahun. Bukan Malaysia.

Bilakah Hari Kemerdekaan Malaysia?

Nah, inilah kekeliruan yang telah terjadi bukan sahaja di zaman kini tapi benda ni sudah jadi time daddy dan mama masih belajar dulu.

Buku teks yang kita belajar selama ini telah dikarang dengan penuh baik sehingga kita orang Sabah pun seolah-olah perasan diri kita adalah orang dari Tanah Melayu sedangkan negeri Sabah mempunyai sejarah sendiri yang patut kita ketahui.

Jangan salahkan sesiapa kerana tiada manusia yang sempurna. Jangan marah pada tukang buat buku teks sebab mereka mungkin tidak peduli akan kewujudan Sabah.

Jadi, adalah hak kita untuk mengetahui fakta sebenar.

Selepas Tanah Melayu merdeka pada 1957 dan Sabah merdeka pada 1963, ketika itu berlakunya perbincangan untuk menyatukan rantau ini kepada satu negara yang lebih besar. Perbincangan tersebut melibatkan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei.

Selepas beberapa rundingan yang serius dan mengemukakan syarat-syarat tertentu maka Sabah, Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura bersetuju untuk membentuk sebuah negara. Brunei tidak menyertai pembentukan ini.

Negara Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963. Itulah sebabnya kita menyambut Hari Malaysia pada setiap 16 September (Itupun baru sahaja mula disambut dalam tahun lepas, 2010 di Padang Merdeka Kota Kinabalu kerana di situlah pengisytiharan pembentukan MALAYSIA).

Manakala, Singapura pula menarik diri selepas itu. Bahagian ini ada di buku sejarah. kakak masih ingat.

Jadi, soalan Kakak kepada anda berdua di sini adalah: KENAPA RAMAI ORANG MENGUCAPKAN SELAMAT HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-54 SEDANGKAN MALAYSIA BARU DITUBUHKAN PADA 48 TAHUN LALU?

Secara jujurnya, Kakak sangat malu dengan pemimpin, guru, golongan ilmuan mahupun mahasiswa yang terpelajar tidak dapat memperbetulkan fakta semudah ini.

Kakak merayu kepada anda berdua agar jangan sesekali mengucapkan Hari Kemerdekaan Malaysia kerana negara-negara yang bergabung membentuk MALAYSIA telahpun merdeka sebelum pengisytiharan.

Jadi, adalah lebih afdal dan tepat jika kita mengucapkan hari kemerdekaan setiap negara asal dengan berasingan.

Contohnya, pada tahun ini kita boleh ucapkan begini: Selamat Hari Kemerdekaan ke-54 Tanah Melayu dan ke-48 Sabah!

Walaupun agak panjang ayatnya tapi jangan belakangkan fakta utama sejarah. Kalau kita mengucapkan selamat hari kemerdekaan Malaysia, maka ia akan meneruskan kesilapan fakta selama ini. Jangan memutarbelitkan sejarah, adik-adikku… Mulakan penceritaan benda kecil ini kepada kawan-kawan agar ia menjadi pemahaman kepada orang yang sepatutnya mengetahui hal yang benar.

Tidak perlu mengajar orang lain yang tidak mahu mengetahui pasal sejarah, tapi kongsilah ilmu bersama mereka yang mendambakannya.

Gambar di atasmenunjukkan bukti Sabah mencapai kemerdekaan pada tarikh tersebut: 31 Ogos 1963.

Ok, bagaimana dengan Sarawak? (saya menyambung sedikit kerana terdapat permintaan untuk includekan Sarawak ke dalam coretan ini).

Penjajahan British terhadap Sarawak bermula pada 1941 (oleh James Brooke) dan dia serahkan kepada British pada 1946. Ketika Jepun datang ke Tanah Melayu, Sarawak juga menjadi mangsa jajahan. Walau bagaimanapun, Sarawak terus berada dalam jajahan British setelah menyertai pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. Maknanya, Sarawak mendapat kemerdekaannya pada Hari Malaysia, iaitu pada saat negara ini tercipta: 16 September 1963.

Sekian dan Terima Kasih.

0 comments: